Monday, February 27, 2012

Tips Maafkan Sahabat yang Melukakan Hati


Tiada manusia sempurna dalam dunia ini. Begitu juga dengan diri anda, mahupun sahabat karib anda. Ini adalah kenyataan hidup yang tidak dapat dinafikan. Lantaran itu jangan terkejut apabila suatu ketika sahabat karib kita melakukan sesuatu atau melontarkan kata-kata yang membuat kita berkecil hati dan bersedih.

Kesilapan memang sering berlaku dalam persahabatan. Sering kali ia boleh kita pandang sebelah mata sahaja. Namun ada ketikanya ada perasaan yang membuatkan kita sukar untuk melupakan apa tah lagi memaafkan kesalahan yang dilakukan oleh sahabat kita, lebih-lebih lagi apabila ia dilakukan berulang-ulang kali. Memaafkan teman yang telah melukakan hati anda suatu perbuatan yang cukup baik. Namun sering kali kata maaf hanya di bibir sedangkan anda terus menyimpan di dalam hati rasa yang terbuku. Lalu apakah yang boleh anda lakukan agar benar-benar dapat memaafkan sahabat. Andai anda tidak pasti bagaimana cara terbaik untuk memaafkan sahabat yang melukakan hati anda, saranan ini mungkin boleh membantu, namun sebelum itu ada beberapa perkara yang perlu ada dalam diri anda. Sikap merendah diri kerana jika anda mahu berpegang pada sikap `kenapa aku?’ anda tidak mungkin dapat memaafkannya. Sentiasa berdoa agar Tuhan lembutkan hati anda untuk memaafkan dia dan juga… anda!

Jadi, mari kita lihat langkahlangkah yang boleh anda lakukan dalam proses cuba memaafkan teman yang telah membuat anda sedih dan marah…

1. Tentukan apakah yang perlu anda maafkan, juga apa yang telah dilakukan oleh teman anda sehingga membuat anda berasa sangat terluka. Banyak kali terjadi kita tidak pasti apa penyebab. Oleh itu ambil sedikit masa dan catatkan mengenai apa dan kenapa anda perlu memaafkan dia.

2. Berdoa dan bertawakal sebelum anda berdepan dengan sahabat. Fikirkan cara bagaimana anda mahu memberitahunya yang anda telah memaafkan dia. Terus berkata, “saya maafkan awak” sangat tidak sesuai dan nampak tidak ikhlas. Ada baiknya juga jika anda tidak menggunakan taktik bersemuka, sebaliknya menulis surat ataupun e-mel. Namun semuanya bergantung pada keadaan dan mana yang membuat anda lebih selesa.

3. Anda mesti benar-benar ikhlas mahu memaafkan teman anda itu. Jika tidak, perasaan tidak puas hati akan terus tersemat di sanubari. Sebab itu anda perlu membuat rancangan bagaimana mahu menyampaikan kata maaf dan betul-betul melakukannya.

4. Andainya anda mahu mengikat kembali ikatan persahabatan yang terputus setelah teman itu menyakitkan hati anda, selain menghulurkan maaf dengan seikhlas hati, berikan juga kata-kata yang dapat memberi dia keyakinan bahawa persahabatan yang bertaut kembali itu akan kekal selamanya.

5. Andai dia datang memohon maaf, jangan buat tidak peduli dan bersikap seolah-olah tidak ada apa yang berlaku. Andai ini yang anda lakukan bermakna anda tidak mahu menghilangkan rasa kecewa dan sakit hati yang anda alami. Atau dengan erti kata lain, tiada maaf baginya! Jangan rasa kecewa apabila sahabat anda tidak mahu mendengarkan perasaan anda kerana sekurang-kurangnya di pihak anda, masalah sudah diselesaikan. Anda tidak perlu melayan perasaan kecewa lagi sebaliknya boleh menghadapi hari mendatang dengan dada lapang.

Maafkan Aku Sahabat

Maafkan aku sahabat
andai aku lupa diri
tolong jagakan aku.
andai aku lemah diri
tolong kuatkan aku.

Maafkan aku sahabat
andai aku terlanjur kata
tolong ingatkan aku.
andai aku terlanjur tingkah
tolong juga ingatkan aku.

Maafkan aku sahabat
maafkan aku...
maafkan aku...
maafkan aku...